Assalamualaikum, salam sejahtera, salam pertemuan, salam perkenalan, dan salam 1Malaysia.
Alhamdulillah bertemu kembali kita di ruangan ini. Sekali lagi saya ingin membawa pembaca sekalian bersama - sama dengan saya menyusuri pengalaman yang telah saya lalui sepanjang saya berada di dalam kelas Kursus Komputer Dalam Pendidikan ini. Suka juga untuk saya bercerita bagaimana dan apa yang telah saya lalui dan lakukan sepanjang tempoh masa untuk saya menyiapkan setiap satu tugasan yang telah diberikan.
Pertama kali mengorak langkah ke Makmal Komputer 4, hati saya tertanya- tanya siapakah gerangan pensyarah yang akan mengendalikan kelas tersebut? Bolehkah saya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran kursus ini dengan penuh perhatian? Mampukah saya untuk memahami dan menerima setiap apa yang bakal disampaikan oleh pensyarah nanti? Tidak saya nafikan, perasaan cuak itu memang wujud. Maklumlah belum sampai sebulan saya berada di tempat baru untuk menghadapi suasana baru, persekitaran baru dan kehidupan baru. Jadi tidak hairanlah jika perasaan cuak itu menguasai hati ini. Namun saya amat bersyukur kerana saya dijodohkan bertemu dengan seorang kawan, Nur Khairunnisa Adian yang sentiasa membantu saya untuk menghadapi semua yang baru di sini.
Kita tinggalkan lembaran yang berkisar tentang perasaan saya dan mari bersama- sama kita teliti apa yang telah saya dapat sepanjang 3 jam kelas yang pertama ini. Pada jam yang pertama, kumpulan s1k4 telah digabungkan dengan kumpulan s1k3 untuk mendengar penerangan tentang struktur kursus dan apa tugasan yang perlu disiapkan untuk minggu ini oleh Dr. Siti Fatimah Mohd Yassin, penyelaras kursus. Sebelum itu, kami diperkenalkan siapakah pensyarah yang akan menjadi pembimbing kami sepanjang berada di dalam kelas ini. Puan Norhafizah Adnan yang akan mengendalikan kumpulan s1k4, manakala Dr. Siti Fatimah Mohd Yassin bertindak sebagai pengendali kumpulan s1k3. Kemudian, kumpulan- kumpulan berpecah ke makmal masing- masing untuk memulakan tugasan masing- masing.
Dalam usaha untuk saya menyiapkan tugasan minggu pertama ini banyak yang telah saya lalui. Untuk membuka akaun Yahoo dan gmail, menyertai Yahoo Group, mengadakan blog saya tidak menghadapi apa- apa kesulitan. Cabaran saya bermula apabila pengesahan akaun facebook say menghadapi masalah. Walaupun telah mengikuti langkah- langkah yang telah diarahkan tetapi masalah pengesahan akaun masih lagi tidak dapat diselesaikan. Oleh itu, saya mencari alternatif dengan berbincang dan bertanya kepada kawan- kawan dari kumpulan yang sama dan juga dari kumpulan yang lain yang telah berjaya membuka akaun dan pautannya berfungsi sepenuhnya. Namun, setelah cubaan demi cubaan berulang kali saya lakukan masalah tersebut tetap pada tahap yang sama. Walaubagaimanapun, usaha saya tidak berhenti setakat itu sahaja. Saya mendapatkan bantuan daripada seorang pemudah cara Bulan Mesra Pelajar yang merupakan senior dari Fakulti Pendidikan. Tetapi masalah tersebut masih juga tidak dapat diselesaikan. Setelah itu keadaan saya semakin tertekan. Kemudian saya terfikir mungkin saya terkhilaf kerana kealpaan tekanan kerja menyebabkan saya terlupa kebergantungan kepada Allah. Jadi, saya terus berwuduk dan menunaikan solat dua rakaat dan saya memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan saya. Alhamdulillah, pada malam itu, seorang hamba Allah ini yang merupakan kenalan baru saya telah datang ke bilik saya untuk mengajak saya makan malam. Tapi hasrat itu terpaksa ditunda apabila dia terkejut melihat keadaan tertekan saya yang jelas- jelas terpancar pada riak muka saya. Dia terus dengan sukarela menawarkan diri untuk mendengar masalah saya, seterusnya kami sama- sama mencari kesilapan- kesilapan yang mungkin saya lakukan. Setelah diteliti, ternyata saya telah mengikut setiap arahan. Kemudian dia memberi cadangan supaya saya mengesahkam akaun facebook itu dengan menggunakan telefon mudah alih. Alhamdulillah, selepas mencuba alternatif itu masalah tersebut dapat diselesaikan. Alhamdulillah, subhanallah.
No comments:
Post a Comment